Utusan Borneo : Kembara Sains Borneo tingkat kesedaran kepentingan pendidikan STEM

MEMBAKUT: Bagi memastikan Malaysia dapat mencapai sasaran untuk berada dalam kalangan 20 negara teratas dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang 2050, negara memerlukan perubahan signifikan, kesediaan dan pembangunan modal insan, perbelanjaan, pembudayaan serta jiwa besar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif berkata antara kaedah untuk mencapai matlamat berkenaan adalah dengan memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di peringkat sekolah lagi.

"Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2022, peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM dari tahun 2017 hingga 2022 mencatatkan penurunan 45.2 peratus kepada 40.94 peratus.

"Bagi negeri Sabah, kadar penglibatan pelajar dalam bidang ini adalah 28 peratus. Oleh itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) menyokong pelaksanaan program pembudayaan ilmu berkaitan STEM seperti program Program Kembara Sains Borneo, yang dibawa khas oleh Pusat Sains Negara (PSN), " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kembara Sains Borneo Siri Dua di Dewan Kesenian Islam, dekat sini pada Jumaat, yang dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup.

article penuh: https://www.utusanborneo.com.my/2023/09/15/kembara-sains-borneo-tingkat…