Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah dijangka mengadakan perjumpaan dengan agensi peringkat persekutuan, Februari ini.

'

 

Kota Kinabalu :   Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah dijangka mengadakan perjumpaan dengan agensi peringkat persekutuan, Februari ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata perjumpaan tersebut bagi membincangkan formula dalam memperkasa inisiatif Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dan menjadikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pelajaran yang diminati golongan pelajar.

"Rakan strategik KSTI di peringkat persekutuan meliputi semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

"Kepelbagaian ini merupakan salah satu kelebihan kepada KSTI untuk melebarkan sayap dalam mencapai visinya melahirkan generasi intelek dan inovatif melalui kemajuan Sains, ICT dan modal insan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.

"Oleh itu, dalam masa terdekat kita akan membuat perjumpaan dengan Menteri MOSTI  dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD). 

"Harapan kita, melalui perjumpaan ini nanti, pelbagai inisiatif STIE dapat diperkasakan di Sabah dalam usaha untuk meningkatkan kadar penglibatan pelajar dalam bidang STEM bagi memenuhi keperluan industri IR4.0 masa kini," ujar beliau.

Bercakap dalam sidang media sempena memulakan tugasnya hari ini, Arifin yang diiringi Pembantu Menteri, Datuk Seri Dr Ruddy Awah memaklumkan pihaknya akan meneruskan program-program yang telah dirancang dan menambah baik beberapa inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peringkat akar umbi berlandaskan Pelan Strategik KSTI 2022-2025.

"Pelan ini merupakan perancangan bagi empat tahun akan datang untuk memenuhi matlamat Sabah menjadikan sebuah negeri yang berteknologi tinggi selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ). 

"Pelan strategik ini juga adalah panduan dalam penetapan hala tuju dalam melahirkan masyarakat yang berkemahiran, mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi digital dan melahirkan masyarakat intelek, kreatif dan inovatif melalui perancangan dan pelaksanaan program pembangunan sumber manusia selaras dengan keperluan industri di Sabah.

"Beberapa program berimpak tinggi yang akan kita laksanakan termasuk Majlis Anugerah Sains Sabah (Mei 2023), Karnival Sains Sabah 2023, Jelajah SMJ- KSTI merangkumi enam zon, pembinaan tiga pusat sains di Perpustakaan Negeri Sabah (Keningau, Tawau dan Sandakan), program pembinaan 20 sudut sains serta naik taraf 20 makmal sains di beberapa sekolah yang akan dikenal pasti," katanya.

Tambah beliau, kementeriannya juga akan melaksanakan Program PitchBorneo, RoboNeo, Social Enterprise Summit dan Borneo Tech Summit, selain merancang Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat antarabangsa pada suku pertama tahun ini.

Arifin yang dilantik sejak 11 Januari lalu, menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap. Datuk Zainudin Bin Aman dan ketua-ketua jabatan di bawah KSTI./Penerangan-