JTK Sabah Kenal Pasti 876 Kesalahan Majikan

"

KOTA KINABALU 9 Mac 2021 - Sebanyak 876 kesalahan dikenal pasti dilakukan oleh 142 majikan dalam Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Penginapan Pekerjaan yang dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah.

Operasi yang bermula sejak 2 Mac lalu itu membabitkan pemeriksaan di 618 penginapan yang disediakan majikan kepada 5,140 pekerja.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, penguatkuasaan itu dilakukan di bawah Ordinan Darurat (Standard Minimum dan Kemudahan Pekerja) Akta 446 (Pindaan) 2021 (EO 446) yang telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 26 Februari lalu.

Katanya, tujuan EO 446 ini adalah untuk memutus penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja kerana kluster jangkitan Covid-19 terbanyak adalah daripada kluster penginapan pekerja asing.

"Majikan di Sabah perlu mematuhi keperluan minimum di bawah EO 446 ini seperti perakuan penginapan, bilangan pekerja dalam sebuah rumah, rumah yang selamat diduduki dan diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kemudahan-kemudahan asas lain seperti tandas, dapur, tilam, kipas, katil dan almari berkunci kepada setiap pekerja.

"Hasil operasi sehingga 5 Mac lalu, sebanyak 142 majikan yang diperiksa telah melakukan sekurang-kurangnya satu kesalahan di bawah Ordinan Darurat ini dan sebanyak 876 kesalahan telah dikesan serta syor pematuhan telah dikeluarkan kepada majikan terlibat," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi yang dilaksana di sekitar Kota Kinabalu pada Selasa.

Yakub berkata, tindakan akan diambil jika ada majikan didapati gagal mematuhi EO 466.

"Jika disabit kesalahan ingkar terhadap arahan dan syor pematuhan yang telah dikeluarkan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM100,000 untuk setiap kesalahan.

"Justeru, saya selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perburuhan di Sabah menyeru majikan mematuhi EO 446 bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

"Pada masa yang sama memastikan isu penginapan perumahan pekerja di Sabah dapat diselesaikan bagi mengelakkan wujudnya elemen buruh paksa di negeri ini," katanya.

Mengulas lanjut berhubung operasi yang dilaksanakan itu, Yakub berkata, tiga lokasi penempatan pekerja di tapak pembinaan di sekitar Kota Kinabalu diserbu dan hasil pemeriksaan didapati majikan masih belum mendapat sijil perakuan penginapan.

Sementara itu, Pengarah JTK Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, antara alasan yang digunakan majikan bagi mengelak menyediakan tempat penginapan yang mematuhi keperluan termasuk menganggap ia hanya penempatan sementara untuk pekerja.

"Biasanya majikan menganggap tugas dan kerja ini adalah sementara jadi mereka menganggap tidak perlu menyediakan penginapan perumahan yang sempurna untuk pekerja terutama di kawasan pembinaan.

"Sebenarnya perkara ini juga tidak dibenarkan dalam undang-undang dan majikan perlu buat permohonan perakuan penginapan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JTK," katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127574/BERITA/Semasa/JTK-Sabah-kenal-pasti-876-kesalahan-majikan