Hanya 20 Peratus Pelajar Ambil Jurusan Sains, Yang Selebihnya Anggap Ia Sukar

KOTA KINABALU 6 Julai 2021 -Pelbagai langkah telah dan sedang diambil untuk mencapai matlamat 60 peratus rakyat dan pelajar yang berpengetahuan serta berkemahiran dengan asas sains termasuklah di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, antara langkah bagi mencapai hasrat ini adalah dengan memastikan bahawa nisbah pelajar sains berada pada tahap 60 peratus berbanding 40 peratus pelajar dalam jurusan sastera.

“Tetapi hakikatnya pada hari ini, kita amat jauh sekali dari sasaran tersebut.

“Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Akademi Sains Malaysia, hanya 20 peratus sahaja dari kalangan pelajar di Malaysia mengambil jurusan sains pada masa kini. Ini adalah kerana masih ramai yang beranggapan “sains itu satu ilmu atau bidang yang sukar” dan ramai pelajar sekolah tidak berminat untuk mengikuti jurusan sains atas alasan tersebut.

“Kerajaan amat memandang berat tentang perkara ini dan sedang berusaha keras untuk menambah baik keadaan tersebut,” katanya semasa merasmikan Karnival Sains Sabah 2021 yang diadakan secara maya di sini Isnin.

Yakub berkata, antara aktiviti yang perlu dilaksanakan secara konsisten adalah mendekati masyarakat di pelbagai peringkat dan memperkenalkan apa itu sains, teknologi dan inovasi (STI) dan kepentingan STI dalam kehidupan seharian.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membudayakan sains kepada masyarakat, dan mengubah persepsi orang ramai kepada ‘sains itu mudah’ serta menjadikan sains sebagai sebahagian daripada kehidupan kita.

“Kerajaan juga mempunyai peranan yang penting dalam merangka kemajuan kerjaya berteraskan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pendorong kepada generasi akan datang untuk mengambil bidang Science, Technology, Engineering and Mathematics atau STEM.

“Menyedari akan hakikat ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Persekutuan (MOSTI) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menggubal Pelan Tindakan STEM Nasional 2017-2025.

“Antara bidang fokus yang telah diberi tumpuan dalam Pelan Tindakan ini ialah Pemupukan Kesedaran, Peningkatan Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran, Pengukuhan Infrastruktur dan Fasiliti, Pembudayaan Penyelidikan, Pembangunan Pengkomersialan dan Inovasi (R,D,C&I), Peluasan Peluang Kerjaya, Pengharmonian Data dan Pemerkasaan Kerjasama Strategik,” jelasnya.

Dalam tempoh 20 tahun dari sekarang, katanya 60 peratus kerja yang anak-anak kita belajar ketika ini, tidak akan wujud lagi.

“Bidang kerja yang akan wujud ketika itu adalah berdasarkan STI. Kita tiada pilihan melainkan mengutamakan pendidikan STEM, sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran pada masa mendatang,” kata Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai.

Tambahnya, menjelang pencapaian sebagai sebuah negara maju, peluang pekerjaan baru berteraskan STI akan bertambah.

Bidang-bidang ini memerlukan kepakaran yang perlu dibina dan dipupuk dari awal, katanya, sambil menjelaskan sebagai contohnya, nanoteknologi, sains angkasa, bahan termaju dan penjagaan kesihatan serta teknologi berteraskan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), akan menjadi bidang yang diberi fokus utama.

Teknologi dan pendekatan yang menggabungkan dunia digital dan bioteknologi dengan kaedah yang terbaik akan mengubah kehidupan manusia pada masa hadapan, katanya.

“Bagi mencapai hasrat ke arah sebuah negara yang maju dan progresif, adalah diharapkan semua pihak dapat membantu usaha murni Kerajaan dengan menggalakkan anak-anak kita untuk memilih jurusan sains di peringkat sekolah menengah dan seterusnya memilih kerjaya serta berkecimpung dalam bidang sains.

“Pembudayaan STI merupakan misi kementerian dalam menjadikan STI sebahagian daripada budaya dan cara hidup kepada masyarakat negara ini terutama dalam kalangan remaja dan orang dewasa,” katanya.

Katanya, Karnival Sains Sabah 2021 merupakan salah satu usaha yang dijalankan untuk tujuan tersebut di negeri ini.

“Penganjuran Karnival Sains Sabah menekankan ke arah melahirkan masyarakat berinteraksi dan membudayakan STI dalam setiap aspek kehidupan.

“Pembudayaan STI perlu diperluaskan bukan sahaja secara informal tapi turut merangkumi pembudayaan berkaitan pengaplikasian teknologi di setiap lapisan masyarakat. Ia bagi memastikan teknologi yang dibangunkan dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Pandemik Covid-19 ini telah mencetuskan satu suasana baharu, di mana masyarakat secara terpaksa perlu ambil tahu mengenai sains dan teknologi digital ini.

“Peranan STI secara tidak langsung dilonjakkan menjadi perkara asas dan menjadi sebahagian dalam cara hidup kita pada masa ini.

“Pandemik ini turut memberi ruang kolaborasi secara inovatif dengan agensi lain dan memberi ruang kepada masyarakat untuk berhijrah kepada cara pembelajaran, pekerjaan dan perniagaan secara digital. Segala urusan masyarakat pada masa ini bergantung kepada STI,” kata Yakub.

Penganjuran Karnival Sains Sabah program ini mengambil contoh model program tahunan MOSTI, iaitu Minggu Sains Negara dan di antara pengisian program turut memberi fokus kepada ilmu STEM, Inovasi dan Teknologi.

Program ini adalah salah satu usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, untuk berkongsi ilmu dengan rakyat umumnya dan para pelajar khususnya.

“Adalah menjadi harapan saya dan KSTI agar program ini dapat menjana minat pelajar dalam membudayakan pemikiran saintifik, kreatif dan inovatif dan seterusnya meningkatkan kadar bilangan pelajar STEM di negeri ini,” katanya.

Penganjuran Karnival Sains Sabah dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, jabatan serta agensi di bawah KSTI dan MOSTI. Setiap Jabatan dan Agensi di bawah KSTI dan MOSTI mempunyai tanggungjawab serta peranan yang berbeza.

Karnival ini juga secara tidak langsung dapat memberi makluman kepada rakyat tentang kepelbagaian fungsi dalam memastikan Kerajaan dapat melaksanakan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan telus.

Berlandaskan kepada adaptasi pelaksanaan norma baharu, penganjuran Karnival Sains Sabah Tahun 2021, diadakan secara maya melalui Facebook Karnival Sains Sabah (KSS) dan Youtube rasmi Kerajaan, iaitu Sabah Gov Official.

Yakub berkata KSTI juga mengambil maklum tentang kekangan yang dihadapi oleh pelajar, yang berada di kawasan pedalaman yang tidak mendapat capaian internet serta peralatan komunikasi yang terhad.

“Maka, satu program direka khas untuk mengurangkan jurang pengetahuan sains, iaitu Pedalaman STEM Challenge untuk memastikan pelajar-pelajar tersebut mendapat peluang dan ilmu kemahiran mengenai STEM dan seterusnya mengumpul markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),” katanya.

Sebanyak 12 pertandingan akan diadakan secara atas talian, khusus untuk setiap lapisan pelajar dari pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga Pendidikan khas, manakala empat pertandingan secara offline di bawah program Pedalaman STEM Challenges. Pertandingan ini adalah berdasarkan sukatan pembelajaran semasa dan tertumpu kepada bidang STEM, bagi memberi ganjaran kepada peserta.

Di samping itu, 30 sesi webinar yang menarik turut diadakan yang melibatkan Jabatan/ Agensi di bawah MOSTI dan juga IPTA di Sabah, iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UiTM Sabah bagi membincang isu-isu dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi. Sesi ini juga melibatkan proses pembelajaran dalam bidang STEM khususnya dalam bidang kejuruteraan dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Aliran Sains.

Artikel Penuh :https://sabahnewstoday.net/hanya-20-peratus-pelajar.../

Artikel Penuh :https://wartaoriental.com/.../hanya-20-peratus-pelajar.../

  •