Perutusan daripada YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah

PERUTUSAN 

YB MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SABAH

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Warga maya yang dihormati, selamat melayari laman sesawang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI).

Kerajaan Negeri  komited mentransformasi Sabah untuk menjadi sebuah Kerajaan Digital yang maju, kompetetif, progresif, inovatif dan berdaya tahan.  Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah mewujudkan sebuah Kementerian baru iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) menggantikan Kementerian Pelajaran dan Inovasi bagi menyokong visi dan misi Kerajaan Negeri khususnya dalam pemerkasaan aspek sains, teknologi dan inovasi (STI).

Melahirkan generasi intelek dan inovatif melalui kemajuan sains, ICT dan modal insan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030 merupakan Visi KSTI. Melalui kementerian ini, Kerajaan Negeri akan mengarusperdanakan penerapan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) ke segenap peringkat bagi memastikan Sabah mampu mencapai status negeri maju seperti yang dirancang.  Kemajuan sains dan teknologi, pembudayaan kreativiti dan inovasi, pembangunan ekonomi dan prasarana digital, pemerkasaan elemen Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta penyediaan modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong keperluan industri pada masa hadapan merupakan tunjang pembangunan yang akan dimartabatkan.

KSTI akan memberi penekanan terhadap pembangunan prasarana ICT Kerajaan Negeri.  Penambahbaikan dan penaiktarafan infrastruktur telekomunikasi termasuklah liputan jalur lebar berkelajuan tinggi bagi meluaskan akses internet ke serata negeri dan meminimakan jurang digital akan dilaksanakan. Pembangunan Pusat Internet Komuniti dan E-Desa akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi setempat. Komitmen ini amat signifikan bagi memastikan Sabah mampu mendepani cabaran semasa secara efektif dan efisien dalam apa jua keadaan. 

KSTI juga akan terus memperkasa dan memasyarakatkan bidang TVET atau Latihan vokasional di Sabah. Usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi melalui kolaborasi dengan pusat TVET dan universiti teknikal tersohor negara akan diperhebatkan. Negeri Sabah mesti memiliki ‘talent pool’ mahir dan separa mahir dalam pelbagai bidang bagi menyokong keperluan pembangunan dan industri, khususnya industri yang menerapkan elemen Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). 

Pelbagai program dan pendekatan akan dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi melestarikan pembentukan masyarakat berpengetahuan dan celik STI, merancakkan pembangunan kemahiran dan menjana peluang pekerjaan, Kerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Kementerian Sumber Manusia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dipertingkatkan.

KSTI yakin hasrat Kerajaan Negeri dalam memartabatkan STI mampu direalisasikan. Program, perkembangan dan kemajuan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pihak KSTI akan dikongsi bersama warga maya melalui laman sesawang KSTI. Pihak KSTI amat mengalu-alukan sebarang maklum balas dan cadangan penambahbaikan daripada warga maya Sabah. Selamat Melayari Laman Sesawang KSTI. 

Salam Hormat. Sabah Maju Jaya!

 

YB. DATUK DR. HAJI MOHD. ARIFIN BIN DATUK HAJI MOHD. ARIF, JP
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah